MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Terengganu

Terengganu tumbang

TERENGGANU tumbang di gelanggang sendiri apabila tewas 1-2 kepada Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.

Jaringan pantas penyerang Selangor, S. Kunanlan dan Mohd. Amri Yahyah meleburkan impian tuan rumah untuk meraih kemenangan sulung pada kempen liga musim ini.

Pada perlawanan semalam, Selangor hanya mengambil masa enam minit untuk memecah kebuntuan menerusi jaringan Kunanlan yang mudah menyempurnakan hantaran bekas pemain Terengganu, Francis Forkey Doe.

'Orang lama' Selangor, Mohd. Amri menambah derita skuad kendalian E. Elavarasan itu apabila melepaskan satu rembatan kencang ke gawang lawan pada minit ke-16 tanpa dapat diselematkan oleh penjaga gol Terengganu, Wan Muhd. Azraei Wan Teh.

Begitupun, Terengganu merapatkan jurang seminit selepas itu menerusi jaringan Jean-Emmanuel Effa Owona untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Pada babak kedua, Terengganu dilihat lebih banyak menguasai permainan tetapi tetap gagal untuk meloloskan diri ekoran kekentalan benteng pertahanan Selangor.

Pengendali Terengganu, Elavarasan menjelaskan, beliau mendapati banyak kelonggaran dalam perlawanan tersebut dan barisan pemainnya begitu mudah hilang fokus.

"Dalam perlawanan hari ini (semalam), beberapa posisi tampak longgar terutama di bahagian tengah.

"Apabila kita menyerang, mereka kelihatan lambat turun sehingga menyebabkan kawasan tengah dikuasai pemain lawan. Ia amat ketara pada 10 minit pertama perlawanan," katanya.

Justeru, beliau berharap agar keadaan seperti itu segera diatasi menjelang aksi menentang Lions XII selepas ini.

Sementara itu, pengendali Selangor, Irfan Bakti memberitahu, beliau berpuas hati dengan rentak permainan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya.

"Kalau dibandingkan dengan perlawanan menentang Lions XII tempoh hari, kita tidak banyak melakukan percubaan ke arah gol. Pada perlawanan ini para pemain banyak membuat percubaan.

"Ia merupakan kemenangan berharga dan akan menjadi suntikan moral kepada pasukan menjelang pertemuan menentang Pahang kelak," kata Irfan.


Sumber:Kosmo