MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Terengganu

Terengganu bakal bina Akademi Sukan Negeri

Terengganu bakal muncul negeri pertama memiliki akademi sukannya sendiri bagi melahirkan atlet kalangan anak negeri yang mencapai kejayaan seimbang dalam sukan dan akademik.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman itu berkata, Akademi Sukan Negeri Terengganu yang kemungkinan ditempatkan di Gong Badak dekat sini akan menyemarakkan usaha melahirkan lebih ramai jaguh dalam pelbagai bidang sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Bagi tujuan itu, katanya, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat diberi tanggungjawab membuat kajian terperinci sebelum kewujudan akademi seumpama itu kelak.

“Yang penting kita jaga kebajikan mereka, memastikan mereka ada masa depan yang cerah dalam kerjaya. Kita tidak mahu mereka hanya diperlukan ketika mewakili negeri dan negara sahaja. Kita perlu fikirkan sesuatu demi masa depan mereka.

“Kita harap dengan penubuhan akademi ini, atlet kita boleh pergi lebih jauh, malah lebih profesional berbanding sekarang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu 2013/2014 di Wisma Darul Iman di sini malam tadi.

Menurut beliau, jika penubuhan akademi itu menjadi kenyataan kelak, kerajaan negeri akan menyediakan biasiswa kepada 10 atlet setiap tahun bagi membiayai pengajian mereka ke peringkat ijazah, sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam bidang sukan.

Jelasnya, sebaik sahaja tamat pengajian, mereka akan kembali berkhidmat di negeri ini untuk sama-sama membangunkan pelbagai bidang sukan dengan mengasuh dan membimbing bakat baharu.

“Sekarang kita di landasan yang betul dan saya berharap para atlet menggunakan peluang yang disediakan kerajaan ini untuk masa depan mereka agar bukan saja berjaya dalam sukan malah juga akademik,” katanya tanpa menyebut bila pembinaan akademi itu akan dimulakan.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Ahmad Razif memberitahu, Rozi juga akan dibantu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong yang kini dilantik sebagai Penasihat Sukan Negeri Terengganu bagi menjayakan hasrat itu.

Beliau memberitahu, Zolkples juga akan mengadakan perbincangan dengan beberapa universiti untuk menjalin kerjasama berkaitan bidang sukan.

Katanya, buat masa ini, perkara itu masih dalam peringkat kajian yang diketuai oleh Rozi sebelum memutuskan bila projek itu mula dilaksanakan di samping menentukan kosnya kelak.

“Kemungkinan akademi ini akan diwujudkan di kompleks sukan baharu di Gong Badak yang bakal dilengkapi asrama untuk penginapan atlet,” jelasnya.

Sumber:Utusan malaysia