MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Terengganu

Stadium runtuh boleh diguna tahun depan

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, yang runtuh pada bahagian bumbungnya pada tahun 2009 lalu, dijangka dapat digunakan sepenuhnya pertengahan Januari tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerajaan akan memastikan segala permasalahan asas seperti papan skor, lampu limpah, tempat duduk, bilik persalinan dan sebagainya dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Hari ini (semalam) saya dapat menyelesaikan sebahagian permasalahan di stadium dan dalam perbincangan ini juga kita telah putuskan supaya dapat digunakan pertengahan Januari 2015 dan pastikan piala liga nanti akan diadakan di sini. Paling kurang pun boleh guna pada waktu siang.

“Kos belum dipastikan lagi tetapi saya rasa tidak banyak kerana kita fokus kepada perkara asas sahaja, padang tidak menjadi masalah, dah selesai dan berharap perkara lain dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini,” katanya yang mengadakan lawatan ke Stadium Sultan Mizan Zainal, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, Datuk Shafii Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan Negeri, Ir Rosli Othman.

Ahmad Razif dalam lawatannya hampir dua jam itu turut memberitahu, litar lumba bagi kejohanan sprint test untuk anak muda juga akan diselesaikan dalam masa terdekat.

“Saya telah melihat tempat cadangan untuk buat litar dan pada dasarnya saya telah setuju.. tindakan seterusnya akan diambil oleh JKR, malah dalam masa sebulan dua lagi kita akan dapat laksanakan (litar lumba),” jelasnya.

Sumber:Sinar harian