MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Terengganu

Jersi Kuning RM2 juta

KERAJAAN negeri Terengganu mengumumkan penajaan Jersi Kuning kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 berjumlah RM2 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, penajaan tersebut membuktikan sokongan padu kerajaan Terengganu terhadap penganjuran kejohanan lumba basikal paling berprestij di benua Asia itu.

"Pada masa sama, penajaan itu menepati hasrat kerajaan negeri untuk mempromosikan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 yang jatuh pada tahun ini.

"Ia seiring dengan komitmen negeri untuk terus melahirkan jaguh basikal dalam kalangan anak negeri (Terengganu).

"Jersi Kuning (LTdL) kali ini memaparkan tema Tahun Melawat Terengganu dengan jelas dan ia memberi penjenamaan yang meluas untuk negeri ini di persada antarabangsa," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyerahan replika cek tajaan berjumlah RM2 juta untuk LTdL 2013 kepada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur LTdL, Datuk Abd. Jalil Abdullah di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, Terengganu semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said; Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Zainal Abidin Hussin serta Ketua Sekretariat TMT 2013, Ahmad Fathil Abd. Ghani.

Turut serta dalam majlis itu ialah Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab; Ketua Pegawai Operasi LTdL 2013, Emir Abdul Jalal dan Presiden Persatuan Lumba Basikal Terengganu, Ahmad Sidi Ismail.

Ahmad menambah, kerajaan negeri mahu menggunakan sepenuhnya peluang untuk mempromosikan Terengganu menerusi LTdL kerana ia diakui antara acara sukan berbasikal yang besar di pentas antarabangsa.

Katanya, penajaan Jersi Kuning tersebut pasti akan memberi ruang penjenamaan TMT 2013 dengan lebih meluas, terutamanya dalam promosi televisyen antarabangsa.

"Selain daripada penjenamaan logo TMT 2013 di kesemua stesen televisyen serta media cetak menerusi LTdL, pihak penganjur juga memberikan tiga peringkat perlumbaan untuk diadakan di negeri ini.

"Ini bukan sahaja akan memberikan ruang promosi selama tiga jam kepada stesen TV domestik dan antarabangsa tetapi turut membuka peluang kepada semua rakyat Terengganu untuk menikmati limpahan ekonomi dari segi hotel serta perniagaan kecil selain berpeluang menonton aksi perlumbaan itu," katanya.

Sumber : Kosmo