MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Terengganu

Sarjana PAS cabar fatwa GST

Seorang anggota Parlimen PAS terus mencabar fatwa yang mengharuskan tindakan kerajaan untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menolak keharusan langkah itu, ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebaliknya berpendapat tindakan itu “haram” dilakukan.

Pemegang doktor falsafah dalam bidang pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata pelaksanaan GST tidak menepati syarat pengharusan cukai dalam Islam.

Beliau mengingatkan bahawa Islam hanya membenarkan cukai untuk menampung keperluan negara, jika berlaku keperluan mendesak bukan akibat ketirisan dan pemborosan serta hanya untuk golongan berkemampuan.

Katanya, realitinya kerajaan masih mempunyai sumber lain untuk dioptimumkan bagi menambah hasil pendapatan negara tanpa perlu mengenakan cukai GST.

“Realitinya ialah kerajaan masih berboros dalam berbelanja sehingga berlaku belanjawan defisit 18 tahun berturut-turut dan masih berlaku ketirisan dalam pengurusan perbelanjaan negara sehingga dianggarkan antara RM23 bilion hingga RM40 bilion setahun sebagaimana semakan berdasarkan Laporan Audit Negara,” katanya.

Khairuddin antara pemimpin PAS yang aktif mencabar pendirian Majlis Fatwa Kebangsaan, termasuk menggunakan pentas Parlimen dan menulis bantahannya di blog.

Beliau juga berkata bersedia dipanggil oleh jawatankuasa fatwa bagi mewakili PAS untuk menyatakan pandangan syarak berkenaan masalah ini,” katanya.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada Oktober 2014 membuat keputusan mengharuskan pemerintah mengutip GST selagi terdapat keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat.

Bagaimanapun, pelaksanaannya hendaklah berpandukan parameter syarak, antaranya ketika kerajaan memerlukan sumber kewangan, bebanan cukai dikutip secara adil dan dibelanjakan untuk maslahah ummah.

Fatwa itu dibuat setelah jawatankuasa dibentangkan dengan laporan kumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

- malaysiakini