MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Terengganu

Pas Terengganu tidak gentar siapa calon Umno

KUALA TERENGGANU – Pas tidak gentar walau siapa calon Umno yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang terutama kawasan Besut.

Yang Dipertua Pas Kawasan Besut, Wan Azhar Wan Ahmad ketika mengulas laporan akhbar berhubung penafian bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa beliau tidak minat bertanding memberitahu bahawa Pas tidak campur tangan dalam soal tersebut.

“Kita tidak bincang dari sudut siapa yang akan wakili Umno di Besut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih menafikan beliau sudah tidak minat lagi untuk bertanding dalam PRU13 seperti yang dilaporkan sebuah akhbar 2 Mac lalu.

Idris berkata, beliau tidak pernah memberitahu untuk tidak bertanding dalam PRU akan datang sebaliknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon yang paling layak untuk bertanding.

Mengulas lanjut, Wan Azhar menganggap momentum kebangkitan rakyat terhadap pakatan sedang berkembang di kawasan Besut ketika ini.

Menurutnya, jika ia berlaku, semua calon Umno termasuk Idris sudah pasti diketepikan rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau mengimbau kembali kemenangan Pas pada 1999 apabila keghairahan rakyat untuk menolak Barisan Nasional (BN) dilakukan melalui kuasa undi sehingga Pas berjaya menewaskan sebahagian besar calon BN tanpa mengira siapa individu itu.

“Kita tidak menolak kemungki-nan itu kerana sejarah telah menunjukkan momentum berlaku dan sudah pasti apabila rakyat menolak, mereka akan menolak sekali gus tidak kira siapa calon Umno,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut memasang cita-cita besar untuk memiliki kesemua kerusi dalam kawasan Besut yang disapu bersih Umno sejak pilihan raya 2004.

Katanya, walaupun pergerakan tidak agresif sebagaimana Umno, namun pihaknya yakin dengan pergerakan senyap yang bergerak ketika ini.

“Di Besut, apabila berlaku pembahagian dana wang ihsan dan Bantuan Rakyat 1Malaysia, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka untuk menunjukkan sikap sebenar.

“Dari sudut rakyat, kita yakin mereka telah menentukan pilihan sendiri dalam PRU akan datang,” katanya.

. Sumber- Sinar Harian