MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Terengganu

Hadi sifatkan G25 terbabas, perlu taubat

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membidas kenyataan kumpulan G25 yang mahukan undang-undang berkaitan khalwat dimansuhkan dengan menggelarkan kumpulan terbabit sebagai golongan terbabas, lapor Sinar Harian hari ini.

 Beliau berkata, kumpulan G25 boleh dianggap sebagai golongan yang terbabas kerana melanggar undang-undang.

"Sangat mengejutkan apabila muncul di tanah air kita yang sudah lama memeluk Islam spesis manusia yang mendesak supaya ditiadakan undang-undang hukuman terhadap maksiat bergaul bebas," beliau dipetik berkata akhbar itu.

Mengambil contoh undang-undang jalan raya, Hadi berkata, setiap orang yang mempunyai lesen memandu dibebaskan mengikut lesennya dan bebas memandu mengikut sempadan undang-undangnya.

"Apabila melanggar undang-undangnya dan berlaku kemalangan, maka dikatakan keretanya terbabas dan bukannya bebas," katanya.

Beliau berkata sekiranya golongan yang terbabas itu tidak bertaubat, mereka akan mendapat kemurkaan di akhirat.

"Kecederaan terbabas di jalan raya boleh diubat dan dirawat tetapi terbabas melakukan haram kalau tidak bertaubat boleh menyebabkan celaka di dunia dan neraka di hari akhirat," katanya.

Kumpulan pesara kerajaan Melayu G25 sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana menggesa kajian semula dilakukan terhadap pelaksanaan undang-undang Islam, mengatakan ia menentang tindakan menjadikan dosa peribadi, seperti berkhalwat, satu jenayah.

Menurut kumpulan itu dalam usaha mewujudkan satu jawatankuasa konsultatif, enakmen kesalahan jenayah syariah yang menceroboh ke dalam kehidupan peribadi rakyat harus dikaji semula.

- the malaysian insider