Menganggap mana-mana kenyataan kontroversi DAP yang menentang perjuangan Pas sebagai tidak mewakili semua orang bukan Islam di negara ini, Abdul Hadi berkata, masih ramai bukan Islam yang memberi maklum balas positif berkaitan rang undang-undang persendirian berkaitan hudud.

Menurutnya, beliau turut menerima respons yang sangat positif daripada kalangan orang bukan Islam tentang hudud dan menemubualnya sama ada dari dalam atau luar negara.

“Antaranya, ada yang membuat penyelidikan peringkat doktor falsafah (PhD) tentang politik di Malaysia. Mereka ini datang jumpa saya dan menimbulkan isu ini.

“Dua hari lepas ada pemberita Reuters dan AFP yang datang membuat temuramah dan saya turut diundang memberi ceramah khusus di Universiti Nanyang, Singapura hujung bulan ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semua itu, katanya, menunjukkan respons daripada pihak yang bukan Islam secara ilmu dan bukannya secara hentam keromo.

“Maka, sebab itulah saya mengingatkan DAP supaya tidak membuat kenyataan sehingga mengheret kepada anggapan bahawa dia adalah anti-Islam dan nak bermusuh dengan orang Islam,” katanya.

Sementara itu di MARANG, Abdul Hadi menyifatkan penangguhan pembentangan rang undang-undang persendirian dalam sesi Parlimen Mei depan tidak menjadi persoalan kerana ada isu yang lebih mendesak untuk diberi perhatian dalam sidang kali itu.

Malah katanya, penyenaraian usul berkaitan Rang Undang-Undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dalam aturan urusan mesyuarat untuk dibentangkan di Parlimen kali ini sudah merupakan satu pencapaian yang sangat baik untuk parti.

“Kalau kita tekan (untuk membentangkan usul lebih awal) maka kita terpaksalah melangkah agenda-agenda lain. Kita boleh buat begitu namun kita meraikannya kerana ada perkara yang lebih penting iaitu isu keselamatan negara yang menjadi perbincangan hangat yang mana kita bersatu dalam menentang keganasan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sumber:Utusan malaysia