MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Terengganu

Gaji ADUN Terengganu 
naik 167 peratus

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berakhir hari ini meluluskan kenaikan gaji semua 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu berkuat kuasa 1 Janua­ri lalu.

Kelulusan itu diumumkan oleh Yang Dipertuanya, Datuk Mohd. Zubir Embong selepas me­nerima cadangan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman agar Enakmen Anggota Pentadbiran ADUN Terengganu dipinda.

Keputusan itu juga dibuat setelah mendapat sokongan sebulat suara daripada ke­semua ADUN dalam persida­ngan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perladangan negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, gaji baharu itu melibatkan kenaikan sebanyak 167 peratus iaitu daripada RM4,112 kepada RM11,000 bagi setiap ADUN di Terengganu.

Beliau bagaimanapun memberitahu, kenaikan itu tidak melibatkan ke­semua sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Pada masa sama, beliau berkata, gaji baharu itu juga selaras dengan kenaikan elaun bulanan dan tidak membabitkan elaun lain seperti elaun perjalanan, makan dan harian.

“Kita mahu semua para wakil rak­yat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar atas keikhlasan dan keprihatinan beliau terhadap kesulitan yang kami hadapi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab.

“Memang sukar untuk kita bentangkan cadangan ini (naik gaji) tapi bersesuaian dengan kesusahan ketika menjalankan perkhidmatan sebagai wa­­kil rakyat serta pengorbanan kami selama ini.

“Cadangan ini mendapat sokongan sepenuhnya termasuk daripada ­semua anggota pembangkang,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Tengku Putera berkata, dari segi rasionalnya, kenaikan gaji itu memang wajar memandangkan kenaikan terakhir gaji wakil rakyat di negeri ini adalah pada tahun 2004.

Malah kata beliau, gaji baharu itu masih rendah jika dibandingkan gaji wa­kil-wakil rakyat di Sarawak dan Selangor.

“Kita juga bersyukur kerana semua wakil rakyat (ADUN) menyokong 100 peratus kenaikan gaji ini termasuk wakil rakyat pembangkang, malah ada kalangan mereka (pembangkang) yang meminta supaya gaji naik lebih tinggi lagi,” ujarnya.

Sumber:Sinar harian