MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Terengganu

Pupuk minat pelajar berniaga

SEBERANG TAKIR – Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) tampil dengan inisiatif baru dengan mewujudkan Taman Usahawan Muda Pelajar Unisza (Tumpu) dalam usaha melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut menjadi landasan terbaik melahirkan usahawan berjaya.

Menurut Naib Canselornya, Prof Dr Yahaya Ibrahim, buat permulaan sebanyak 11 unit ruang perniagaan akan memulakan operasi sekitar Mei ini dan diharap pelajar berminat memanfaatkan sepenuhnya peluang diberikan itu.

“Tujuan kita menyediakan peluang perniagaan di dalam kampus ini sebagai landasan untuk memupuk minat pelajar agar terlibat dalam bidang perniagaan di peringkat lebih awal, sekali gus mampu menambah ilmu sekiranya ingin mengembangkan perniagaan apabila tamat belajar nanti.

“Selain itu, dalam masa sama, kami juga turut bercadang mewujudkan ‘Student Mall’ bagi membuka lebih banyak peluang dan ruang untuk pelajar berniaga di dalam kampus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Portal Usahawan Siswazah Unisza dan Penyerahan Sijil Pendaftaran Syarikat Pusat Keusahawanan Unisza, di Quinara Al-Saffir Resort, di sini.

Menurut Yahaya lagi, pihaknya turut merangka untuk membina sebuah lot kedai di tepi pagar universiti berkenaan yang dapat memberikan akses kepada orang ramai menggunakan perkhidmatan disediakan serta peluang untuk pelajar berniaga dengan skala lebih besar.

“Mengikut perancangan awal, ruang niaga itu meliputi hotel butik, mini market, dobi, klinik swasta dan banyak lagi dengan memberi keutamaan kepada pelajar Unisza untuk menyewa ruang niaga yang bakal dibuka nanti,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai portal berkenaan, beliau turut memberi pujian dengan perkembangan positif ditunjukkan dengan seramai 340 pelajar dengan 220 syarikat berminat untuk menjalankan perniagaan di dalam kampus membuat pendaftaran.

Sumber:Sinar Harian