MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Terengganu

Mengaku salah rompak pelajar

Tindakan kejam dua lelaki menumbuk perut sambil mengacukan pisau rambo sebelum merompak seorang pelajar menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan, oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Keputusan dibuat selepas Che Maizul Hairie Che Zuki, 20, dan Tuan Mohd Hapizan Tuan Husain, 25, mengaku salah bersama-sama merompak sebuah motosikal Yamaha Lagenda dan sebuah telefon bimbit jenis OPPO NEO5 milik Mohd Faizul Hussin, 24.

Mereka yang beralamat dari Kuala Besut itu mengaku melakukan jenayah mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan terhadap mangsa di atas benteng, belakang Kompleks LKIM Kuala Besut, Besut, kira-kira jam 7.20 malam, pada 17 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua-duanya boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana R Azmi di hadapan Hakim Mohamad Haidar Abdul Aziz.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, kira-kira jam 7.20 malam, mangsa yang baru selesai memancing di atas benteng belakang LKIM Seberang Kastam, Kuala Besut, pergi ke kawasan parkir untuk mengambil motosikalnya.

Bagaimanapun, semasa dalam perjalanan itu, tiba-tiba muncul dua lelaki tidak dikenali dari arah bertentangan, lalu salah seorang daripadanya terus menumbuk perut mangsa sebanyak sekali manakala seorang lagi mengacukan dan melibas-libas sebilah pisau rambo berukuran lebih kurang 20 sentimeter ke arah mangsa.

Kemudian, lelaki yang memegang pisau itu meminta telefon bimbit berserta dompet dan kunci motosikal sebelum mengarahkan mangsa lari ke arah bertentangan.

Kira-kira 10 minit kemudian, mangsa tidak lagi melihat kelibat mereka dan pergi semula ke arah motosikalnya, namun setibanya di kawasan parkir, dia dapati motosikal yang dipinjam daripada abang iparnya sudah tiada.

Yakin motosikal berserta barang-barang berharga miliknya telah diambil lelaki terbabit, mangsa terus membuat laporan polis berhubung kejadian.

Kedua-dua lelaki itu ditahan pada 22 Mei lalu, kira-kira jam 3.30 petang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati salah seorang daripadanya positif dadah jenis amphetamine.

Siasatan seterusnya menemui semula semua barang berharga termasuk motosikal milik abang ipar mangsa.

 

Sumber:Sinar Harian