MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Terengganu

JKDM rampas 113 tan mercun

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas sebanyak 113 tan mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai kira-kira RM4 juta menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan bermula Januari hingga awal Jun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, kebanyakan bahan letupan itu diperoleh dari negara jiran dan dibawa masuk menggunakan pelbagai cara sama ada melalui jalan darat atau air.

“Hasil siasatan mendapati, negeri bersempadan seperti Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan mencatatkan paling banyak rampasan.

“Rampasan kali ini agak besar dan tindakan berterusan akan terus dilaksanakan bagi menyekat penyeludupan atau kemasukan bahan letupan seperti mercun dan bunga api yang lebih besar khususnya pada sambutan hari raya nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penerapan Nilai-Nilai Murni anjuran JKDM Terengganu, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengarah JKDM Negeri, Datuk Hamzah Sundang.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Khazali berkata, Terengganu turut akan mendapat kawalan ketat dan pemantauan agresif memandangkan lokasi negeri ini berhampiran Kelantan yang bersempadan dengan negara jiran, Thailand.

Beliau berkata, usaha kawalan secara agresif akan dijalankan dengan kerjasama agensi lain seperti Polis, Tentera dan Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk bertukar maklumat serta risikan.

“Setakat ini kita mempunyai seramai 14,000 kekuatan dan seramai 2,500 daripada mereka menjalankan tugas penguatkuasaan. Memandangkan kawasan sempadan luas, walaupun telah dikawal ketat, penyeludup ini menggunakan laluan tikus untuk membawa masuk bahan-bahan yang dilarang.

“Memang ada beberapa jalan tikus telah dikenal pasti dan kawalan telah dilaksanakan, namun satu kita bongkar, akan timbul laluan tikus yang lain. Penyeludup ini tetap akan mencari jalan dan ruang untuk menyeludup bahan yang dilarang,” katanya.

Khazali berkata, peranan orang awam juga akan dapat membantu dalam menyalurkan maklumat berhubung kegiatan ini bagi memastikan tiada kebocoran bahan larangan yang dibawa masuk ke negara ini.

 

Sumber:Sinar Harian