MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Terengganu

Golongan muda mahu perkasa ekonomi luar bandar

Kuala Nerus: Penjanaan ekonomi mapan dan peluang pekerjaan mencukupi, sekali gus menaikkan taraf hidup masyarakat di kampung bersaing dengan masyarakat bandar adalah antara aspirasi popular disampaikan golongan muda di Program Bicara Komuniti Transformasi Nasional 2050 (TN50) Zon Timur bersama Kementerian Kemajuan Luar Bandar Wilayah (KKLW), di sini, semalam.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau tertarik dengan aspirasi disampaikan golongan muda itu yang disifatkannya senada dengan hasrat kerajaan bagi memperkasa serta memajukan wilayah luar bandar setanding dengan bandar.

“Kerajaan sendiri melaksanakan pelbagai program bagi membantu membangunkan kawasan luar bandar selain mengadakan kempen ‘reverse migration’ iaitu menggalakkan masyarakat luar bandar yang tinggal di bandar pulang ke kampung,” katanya pada majlis penutup program itu.

Selain itu, pada program terbabit juga beberapa individu mahu supaya masyarakat negara ini berfikiran lebih terbuka dan tidak memandang rendah terhadap Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET).

Mengulas perkara itu, Ismail Sabri berkata, TVET tidak wajar dianggap sebagai pilihan kedua, lebih-lebih lagi bidang itu sebenarnya menjanjikan masa depan lebih baik kepada golongan muda dan negara.

“Jika kita lihat negara maju contohnya di Jerman, mereka meletakkan TVET sebagai pilihan utama, tetapi di Malaysia kita yang anggap itu pilihan kedua selepas gagal ke universiti atau sekolah akademik.

“Kerajaan sememangnya menggalakkan pelajar kita untuk mengambil bidang kemahiran sebagai subjek penting. Bagaimanapun, persepsi ibu bapa yang saya lihat dari dahulu hingga sekarang masih tidak berubah apabila mahukan anak mereka memasuki universiti bukan TVET,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kementerian mengumpul setiap aspirasi dan harapan golongan muda luar bandar bagi dijadikan panduan untuk penyediaan Dasar Luar Bandar yang dijangka dibentangkan Ogos depan.

Sementara itu, sesi bicara yang dihadiri 500 peserta selama tiga jam itu dikendalikan pelawak popular Zizan Razak dan Abu Talib Husin sebagai moderator bersama ikon belia iaitu pelakon terkenal Ummi Nazeera serta dan Mira Filzah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro