MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Terengganu

Bertegas nyatakan pendirian isu Rohingya - Raja Bahrin

Kerajaan perlu menyatakan pendirian berhubung pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya di Myanmar, gesa ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin berkata permintaannya untuk berdebat mengenai perkara itu dinafikan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
 
Speaker berkata dengan membenarkan usul itu dibahaskan, seorang menteri diperlukan untuk bertindak balas dan ini boleh dilihat sebagai campur tangan dalam urusan dalaman Myanmar.
 
“Tetapi ini bukan satu perkara dalaman yang mudah.
 
“Tentera kini terlibat dan sebagai negara jiran, Malaysia tidak boleh membisu. Kita perlu membantu,” kata Raja Kamarul, pengerusi Amanah Terengganu pada sidang media di lobi Parlimen petang ini.
 
Beliau berkata, jika kerajaan terus menutup sebelah mata terhadap pembunuhan beramai-ramai yang menyaksikan ribuan dibunuh dan terbiar tanpa rumah, ia membuktikan kelemahan sesebuah negara.
 
“Kita tidak boleh berpura-pura seperti tiada apa berlaku di sana.
 
“Jadi saya menyeru kepada kerajaan supaya menyatakan pendirian dan mengutuk kerajaan Myanmar kerana membenarkan semua ini berlaku.”
 
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkan Rohingya sebagai minoriti paling tertindas di dunia kerana bertahun-tahun berhadapan dengan kematian, rogol dan pengusiran dari kampung mereka.
 
Akibatnya, ramai meninggalkan negara untuk mendapatkan perlindungan di Malaysia dan Thailand.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim baru-baru ini mendedahkan hampir 100,000 Rohingya yang tinggal di Malaysia.

- freemalaysiatoday