MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Terengganu

23 PATI ditahan

Permaisuri: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menahan 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi bersepadu di Marang, Setiu dan Hulu Terengganu hari ini.

Semua yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Mynmar berusia antara 20 hingga 40 tahun dalam operasi bermula jam 10 pagi hingga 5 petang tadi di tiga lokasi berasingan iaitu dua kilang papan dan sebuah tapak pembinaan.

Timbalan Penolong Pengarah Tinggi JIM Terengganu Mohd Muda berkata, pihaknya turut menahan sepasang suami isteri warga Indonesia berusia 39 dan 26 tahun di sebuah tapak pembinaan di Marang kerana tidak mempunyai dokumen sah.

"Antara kesalahan dilakukan adalah tidak memiliki dokumen sah untuk tinggal di negara ini, tinggal lebih masa dan tidak mempunyai pas kerja.

"Semua yang ditahan dibawa ke Depo Tahanan Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1963 serta Seksyen 39(B) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.

Dalam pada itu, Mohd berkata, seramai 1,200 orang PATI ditahan membabitkan pelbagai kesalahan bermula Januari hingga hari ini.

"Daripada jumlah tangkapan itu, sebanyak RM800,000 kompaun dan denda dikenakan ke atas majikan dan PATI," katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Source Mymetro