MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Terengganu

Terengganu pengeluar udang putih terbesar negara

Terengganu bakal menjadi pengeluar udang putih terbesar negara apabila projek Ladang Akuakultur Udang Bersepadu (iSHARP) di Kampung Nyatuh, Setiu beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said berkata, dalam tempoh percubaan ini, ladang seluas 1,000 hektar itu sudah mengeluarkan hasil sehingga enam tan, iaitu lebih satu tan daripada sasaran awal.Katanya, menerusi fasa pertama, 216 kolam ternakan akan beroperasi sepenuhnya tahun ini dengan kapasiti pengeluaran 2,100 tan udang setahun dan menjelang tahun 2013, sebanyak 400 kolam akan dibina.

"Apabila beroperasi sepenuhnya pada 2013, iSHARP mampu menyediakan antara 700 hingga 1,000 peluang pekerjaan terutamanya kepada anak tempatan,” katanya kepada pemberita ketika melawat ladang itu di Kampung Nyatuh, Setiu semalam.Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif iSHARP, Abu Bakar Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB. Asha’ari Idris dan Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Mohd. Jidin Shafie.

Mengulas lanjut, Dato’ Seri Ahmad berkata, ladang iSHARP dibangunkan Blue Archipelago Berhad, anak syarikat Khazanah Nasional Berhad khusus untuk menternak udang secara teratur dan terkawal.

Katanya, kewujudan projek itu antara lain bagi menyuburkan perkongsian swasta, kerajaan negeri dan persekutuan bagi merancang gugusan akuakultur udang secara moden.

“Fasa kedua tahun hadapan, iSHARP akan mempunyai 400 kolam ternakan udang yang mampu menghasilkan 3,920 tan udang setahun.“Apabila siap sepenuhnya, hasil pengeluaran iSHARP dijangka mencecah nilai pasaran RM78 juta setahun dan udang ini akan dieksport ke Eropah, Jepun, Amerika Syarikat dan Timur Tengah,” katanya.

Katanya, pusat pembenihan udang di ladang itu mampu mengeluarkan satu bilion benih udang setahun, cukup untuk menampung keperluan iSHARP dan penternak kecil di Pantai Timur.

"Pada masa ini, 48 kolam telah mengeluarkan hasil udang dan seramai 108 pekerja telah memulakan tugas di iSHARP dimana 85 peratus daripada mereka adalah anak Terengganu.

"Pekerjaan yang diwujudkan itu mampu menjana pendapatan RM12 juta setahun dan secara langsung mampu meningkatkan kegiatan ekonomi penduduk setempat,” ujarnya. Sumber- Terengganu.gov.my