MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Terengganu

Lembah silika pertama dunia di Terengganu

Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu dan TRG Industrial Minerals Sdn. Bhd. (TIM) hari ini memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk membangunkan lembah silika yang pertama di dunia di Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pelaburan bernilai RM350 juta melibatkan pembinaan sebuah kilang bersepadu di Saujana, Setiu yang bermula April ini dan beroperasi sepenuhnya pertengahan tahun depan.

Katanya, kerjasama mewujudkan Konsortium Silika Terengganu itu melibatkan pengeluaran pasir silika di kawasan seluas 1,200 hektar di Setiu dan Marang.

“Konsortium itu turut melibatkan kepakaran dan teknologi pemprosesan syarikat tempatan dan antarabangsa dari Jepun, India dan Perancis untuk mewujudkan industri silika di Terengganu.

“Selain membuka laluan pelaburan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), projek itu mampu membuka sehingga 600 peluang pekerjaan mahir dan separa mahir,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan MoU berkenaan di Hotel Primula, Kuala Terengganu petang ini.

Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu diwakili Pegawai Kewangan Kerajaan negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail manakala Ketua Pegawai Eksekutif TIM, N. Surendren mewakili syarikat itu.

Turut menyaksikan MoU berkenaan, Pengerusi Kumpulan TIM, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharuddin dan Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Tambah Dato’ Seri Haji Ahmad, dua kawasan deposit silika yang dikenal pasti mampu bertahan sehingga 75 tahun itu akan melalui kajian kebolehlaksanaan secara teliti dan sistematik mengikut piawaian antarabangsa.

Katanya, penggunaan teknologi tinggi dan kepakaran luar negara akan menjamin keluaran gred dan mutu silika yang paling tinggi untuk kegunaan industri khas seperti pembuatan kaca panel solar, TV LED, LCD dan komponen elektronik yang lain.

“Pihak konsortium akan memperkenalkan industri kraftangan kristal yang lengkap dengan studio, galeri, muzium serta bengkel latihan yang berpusat di Taman Tamadun Islam (TTI) yang dikenali sebagai Taman Kristal Terengganu.

“Kawasan bekas perlombongan dibaik pulih dengan membentuk kolam bagi tujuan akuakultur seperti penternakan ikan air tawar, belut dan udang serta kawasan rekreasi atau pelancongan,” jelasnya. Sumber- Terengganu.gov.my