MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Terengganu

Lebih 20,000 meriahkan sambutan Maulidur Rasul

Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Stadium Negeri, Kuala Terengganu disambut meriah dengan mencatat rekod penyertaan luar biasa lebih 20,000 umat Islam dari seluruh negeri.

Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan acara perarakan yang dimulakan seawal pukul 8 pagi melibatkan 794 organisasi.Kesemua mereka terdiri daripada 288 kontinjen mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), syarikat swasta (12), pasukan beruniform (6), sekolah dan institusi pengajian tinggi (40), jabatan kerajaan persekutuan (28) dan jabatan kerajaan negeri (23).

Turut serta, badan bukan kerajaan (NGO) dan tadika kanak-kanak seramai 397 kontinjen.

Perarakan sejauh kira-kira dua kilometer itu bermula dari Dataran Shahbandar ke perkarangan Stadium Negeri yang diketuai oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.Turut menyertai perarakan ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB. Haji Khazan Che Mat; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan barisan Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Terdahulu, Dato’ Haji Mazlan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur dalam ucapannya menyeru rakyat terutama golongan muda supaya mencontohi kejayaan Nabi Muhammad dalam melahirkan sebuah tamadun yang hebat.

Beliau berkata, dalam hubungan ini kerajaan negeri sedang berusaha melahirkan generasi pemimpin masa depan mengikut ajaran Islam sebenar.

“Kita harus menjadikan Nabi Muhammad sebagai model dan personaliti pemimpin agama dalam melahirkan generasi muslim yang berjaya,” katanya.Pada majlis tersebut, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut mencemar duli menyampaikan hadiah kepada beberapa pemenang yang menyertai pelbagai acara yang diadakan sempena sambutan itu.

Turut berangkat ke majlis, Sultanah Nur Zahirah.

Antara acara yang diadakan ialah pertandingan menulis, pidato, menulis khat, mewarna, menulis sajak dan syair peringkat sekolah menengah, rendah dan institusi pengajian tinggi.
Turut menerima hadiah, pertandingan keceriaan dan kebersihan tanah perkuburan yang diungguli Kampung Gong Terap, Setiu di tempat pertama, Kampung Bukit Wan, Kuala Terengganu (Kedua) dan Kampung Guntung Luar, Setiu (Ketiga).Pemenang pertama membawa pulang wang tunai RM5,000, RM3,000 (Kedua) dan RM2,000 (Ketiga) serta sijil penghargaan.

Bagi pertandingan perarakan, Yayasan Islam Terengganu memenagi Kategori Jabatan Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun Negeri, Kategori Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan (Jabatan Pelajaran Negeri), Kategori Sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin).

Bagi Kategori Pasukan Beruniform dimenagi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kategori Syarikat Swasta (Petronas Wilayah Pantai Timur) dan Kategori JKKK (JKKK Kampung Undang).

Setiap pemenang memperolehi wang tunai RM2,000 dan sijil penghargaan. Sumber- Terengganu.gov.my