MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
Kuala Terengganu

Kampung Cina amat bernilai

KUALA TERENGGANU – Kampung Cina yang didiami sejak 300 tahun lalu kini hanya tinggal generasi keempat sebagai generasi paling lama yang menetap di kawasan itu kerana kebanyakan generasi terdahulu telah meninggal dunia.

Kampung Cina yang terletak di pinggir Pulau Warisan adalah khazanah bersejarah negeri ini yang amat bernilai dan menjadi saksi bermulanya perniagaan terawal di bandar Kuala Terengganu.

Menurut seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Uncle Hoo, 66, ayahnya yang juga generasi ketiga menetap di kampung itu meninggal dunia pada usia 100 tahun, tiga tahun lalu.

“Sekarang sudah tiada orang tua di sini yang tahu banyak sejarah Kampung Cina dan yang sempat merasai suasana pada awal pembukaan kawasan ini.

“Bagaimanapun, banyak juga perubahan yang berlaku dari dulu sehingga kini. Pelancong pun ramai yang berkunjung ke sini untuk melihat beberapa tempat menarik yang juga peninggalan sejarah,” katanya.

Penempatan awal kaum Cina

Hoo berkata, menurut mendiang ayahnya, Setiu adalah penempatan awal kaum Cina yang berhijrah dari Tanah Besar China ke negeri ini, manakala Kuala Terengganu adalah bandar terakhir yang dibuka untuk  aktiviti perniagaan.

Menurutnya, masyarakat dahulu mengambil masa yang lama untuk sampai ke satu-satu tempat kerana mereka tiada kenderaan dan hanya berjalan kaki.

“Biasanya nenek moyang dahulu jika tiada perahu, mereka akan jalan kaki guna jalan pantai. Perjalanan yang diambil mengambil masa yang panjang. Dua hingga tiga hari baru tiba di lokasi yang dituju.

“Mereka juga akan bawa barangan untuk dijual dengan cara menggendongnya sahaja. Dulu, ayah saya cerita, untuk berniaga di Batu Rakit mengambil masa beberapa hari untuk sampai ke sana,” katanya.

Hoo berkata, pemakanan dan gaya hidup sihat adalah antara faktor yang menjadikan generasi terdahulu mampu hidup lama serta usia mencecah ratusan tahun.

“Corak hidup dan perubahan zaman menjadi salah satu faktor mempengaruhi usia seseorang. Sekarang banyak pencemaran, makanan yang dimakan dicemari pelbagai bahan seperti bahan kimia daripada racun serangga perosak tanaman.

"Kalau dulu, mana ada makan makanan segera, orang tua hanya makan sayur dan daun kayu yang mengandungi banyak khasiat termasuk dari segi perubatan untuk melawan pelbagai jenis penyakit,” katanya.

Naik taraf kemudahan

Walaupun bangga dengan kemajuan dinikmati di Kampung Cina sekarang, Hoo berkata, dia belum berpuas hati dengan kemudahan awam yang disediakan.

“Saya perhatikan, ramai pelancong yang datang untuk lihat kesan peninggalan sejarah di sini, malangnya kemudahan awam seperti tandas tidak mencukupi dan keadaan ini menimbulkan kesulitan kepada mereka.

“Ramai pelancong asing yang saya jumpa rata-rata mengadu kemudahan asas amat berkurangan di sini. Justeru, saya minta kepada mereka yang bertanggungjawab supaya segera menitikberatkan perkara ini bagi menjaga imej negeri kita,” katanya.

Sumber:Sinar Harian